Ucapan Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Ke-53
Ustaz Nasharudin Mat Isa
Thu | May 31, 07 | 11:37:07 AM
Puan Pengerusi Tetap;Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ahli Ahli Jawantkuasa PAS Pusat, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Ketua-ketua Dewan Musimat PAS negeri-Pimpinan dan wakil-wakil Wanita BA dan NGO; Para diplomat dan dif-dif jemputan kehormat; Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian,
Alhmadulillh syukur ke hadrat Allah swt di atas limpah keizinan Nya dapatlah saya pada hari ini diberikan kesempatan untuk meresmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali yang ke 47. Diambang 50 tahun kemerdekaan negara ini sesungguhnya peranan wanita di Malaysia menjadi semakin mencabar dan PAS berbangga kerana Dewan Muslimatnya kelihatan sentiasa responsif dan proaktif bergerak memartabatkan golongan wanita dalam kerangka Islam yang merupakan dokongan kita.
Beberapa usaha yang diambil oleh Dewan Muslimat yang seiringan dengan hasrat kita untuk memberikan nafas baru kepada pendekatan PAS melalui engagement dan repackaging ternyata telah membuahkan hasil dan menguntungkan perjuangan.
Sidang muktamirat sekalian
Dalam perkara-perkara yang membabitkan wanita, Islam tidak pernah mendapat pembelaan yang adil. Islam sentiasa dilihat seolah mengongkong dan merendahkan martabat wanita. Apa sahaja berkenaan hukum-hakam Islam yang membabitkan wanita sering dipandang mendiskriminasi golongan ini. Dan persepsi buruk ini menjadi bertambah keruh apabila dari kalangan individu dan organisasi yang berlabel Islam turut sama tumpang mengelirukan tafsirannya.
Masyarakat menjadi semakin keliru melihat gelagat dan aksi pimpinan negara, sehinggakan ada yang berpandangan bahawa apa yang ditonjolkan oleh golongan sekular yang liberal inilah Islam yang sebenarnya.
Bertolak dari sinilah maka peranan Dewan Muslimat PAS dalam menzahirkan imej Islam yang sebenar sungguh besar dan mencabar khususnya dalam hal-hal yang membabitkan wanita. Kita mahu Islam difahami dan tidak dikelirukan, oleh itu selaku pembawa panji-panji Gerakan Islam dalam negara ini, kita perlu kehadapan dalam merongkai kekusutan ini, mudah-mudahan keindahan Islam itu dapat dirasai, dinikmati dan yang pentingnya difahami oleh semua pihak tanpa prasangka dan prejudis.
Sidang muktamirat sekalian
PAS tidak pernah bermuka-muka dalam mengenengahkan Islam yang sebenarnya. PAS tidak pernah bermusim-musim dalam menonjolkan Islam yang sebenarnya. Dalam isu wanita contohnya PAS sangat jelas dan komited untuk menunjukkan betapa Islam sesungguhnya memberi penghormatan tinggi kepada golongan ini dan Muslimat PAS berperanan bagi menjelaskan perkara ini. Islam dikatakan mendiskriminasi golongan wanita, mencabul hak mereka dan meletakkan mereka sebagai warga kelas kedua.
PAS berdiri dan memperbetulkan persepsi jahat ini. Diperingkat pimpinan tertinggi parti, wakil Muslimat duduk sebagai ahli yang dipilih dan dilantik. Diperingkat Parlimen PAS mempunyai dua orang wakil Muslimat sebagai Senator di Dewan Negara manakala di Dewan Undangan Negeri Kelantan PAS mempunyai seorang ADUN wanita. Ini menunjukkan betapa rapuhnya tuduhan dan serangan musuh itu.
Malah diperingkat pentadbiran negeri Kelantan sendiri, negeri yang dikuasai oleh PAS, peranan wanita tidak pernah dikesampingkan. Kerajaan PAS Kelantan mengorak langkah apabila melantik Penghulu-penghulu dikalangan wanita di negeri ini. Langkah ini adalah bukti betapa PAS mengiktiraf dan menghargai pernanan wanita. Demikian juga ahli-hali majlis PBT di negeri ini.
Dimana pergi para pengkritik yang menyerang Islam tadi dalam hal-hal yang saya sebutkan ini?
Sidang muktamirat sekalian
Dalam hal ini Muslimat PAS perlu bersedia menjadi penghubung antara kita dan masyarakat luar. Kita menjadi penghubung dengan mereka apabila kita bersedia ke hadapan menjalin hubungan dengan kelompok dan kumpulan masyarakat di luar ataupun kita menjadi penghubung dengan memberikan penampilan yang sebenar tentang Islam dalam setiap tindakan dan gerak aktiviti kita. Rata-rata masyarakat diluar mahu mendengar dan mendampingi Islam, yang menjadi penghalang lazimnya adalah tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak musuh. Kita seharusnya mengembeleng tenaga memecahkan tembok penghalang ini agar Islam dalam bentuknya yang sebenar sampai terus kepengetahuan masyarakat samada kepada yang Islam atau bukan Islam.
Biar Islam khasnya yang berhubung isu-isu kewanitaan diperolehi penjelasannya terus dari kita dan bukannya pihak kedua atau ketiga yang hanya akan mencedera dan merosakkan imej dan martabat agama itu.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan rombongan yang baru-baru ini ini telah terjun ke tengah kancah masyarakat di Lorong Haji Taib sejurus selepas majlis perasmian Bangunan PAS Pusat yang baru di Jalan Raja Laut. Usaha mendekati golongan yang telah tergelincir ke jalan maksiat ini membuktikan bahawa PAS bersedia mendekati mana-mana pihak sahaja asalkan di sana ada peluang dan ruang untuk berdakwah dan membawa mereka kembali ke arus perdana Islam.
Usaha dan langkah proaktif ini perlu diteruskan bukan hanya di Lorong Haji Taib tetapi disetiap ceruk dan sudut yang membuka peluang harapan bagi kita untuk melebarkan luaskan dakwah disamping mendekati masyarakat yang selama ini dipinggirkan oleh Umno dan BN.
Sidang muktamirat sekalian
Sebagaimana di dalam Muktamar Dewan Pemuda semalam, di Muktamar Dewan Muslimat ini saya turut mahu mengambil kesempatan menekankan kepada para muktamirat sekalian akan aspek FIQHUL AWLAWIYAT atau FIQH KEUTAMAAN ataupun FIQH OF PRIORITY. Aspek ini menekankan betapa pentingnya Dewan Muslimat mengenal pasti dan menyusun keutamaan dalam merangka pelan tindakan supaya gerak kerja kita sentiasa rapi dan tersusun dan lebih penting lagi menepati tuntutan kita sebagai sebuah Gerakan Islam.
Diperingkat ini keutamaan kita sudah pasti adalah memperbetulkan saf kita, dan merujuk kepada Ucapan Dasar Dato Seri Tuan Guru Presiden pada Muktamar PAS yang ke 51 dahulu, betapa penegasan dan keutmaaan perlu diberikan kepada AQIDAH SOMIMAH iaitu AQIDAH YANG JITU ke arah pemantapan pengangan kita supaya sentiasa dalam apa suasana sekali pun ianya selari dan seiringan dan tidak sekali-kali bertentangan dengan AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH yang sama-sama kita pegang. Segala aspek yang menyentuh perkara-perkara USULI hendaklah sentiasa kita pertahankan dengan penuh cemburu manakala perkara-perkara yang FURU sepatutnya tidak lagi mengikat kita dalam perbalahan yang tidak berkesudahan.
Apabila AQIDAH SOMIMAH ini telah jelas insyallah ianya akan mampu memantapkan saf kita disemua peringkat dalam satu ukhuwah yang nanti akan diikat dengan kemas dan teguh oleh MAHABBAH yakni kasih-sayang serta saling hormat-menghormati. Percayalah saf yang teguh dan mantap ini nanti akan memberikan kita kekuatan dan keyakinan apabila menghadapi masyarakat luar yang akan sentiasa memerhati dan menilai kita.
Sidang muktamirat sekalian
Sesunggunhya Muslimat PAS telah melangkah jauh sejak parti ini ditubuhkan kira-kira 56 tahun lalu. Menurut rekod Ketua Dewan Muslimat PAS hari ini Ustazah Azizah Khatib Mat merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang ke 10 sejak tahun 1955. Sudah pastilah sepanjang usia yang dewasa ini kita telah memungut pelbagai pengalaman pahit-manis yang seharusnya mampu menjadi panduan dan pedoman kepada parti bagi menongkah arus perjuangan seterusnya yang semakin hangat dan mencabar. Sudah pastilah juga cabaran-cabaran yang ditempuh berbeza-beza dari satu dekad ke satu dekad yang lain. Sewajarnya peningkatan usia ini turut mendewasakan kita dalam mengurus parti dan menghadapi cabaran yang luas terbentang di hadapan.
Saya menyeru agar Dewan Muslimat selaku sayap terpenting parti sentiasa memberikan fokus dan keutamaan kepada mempertingkatkan kekuatan dalaman kerana tugas dan tanggungjawab yang menunggu kita begitu berat dan besar. Seteru utama Muslimat PAS dalam perjuangan kita sudah pastilah Pergerakan Wanita Umno yang rata-rata bergerak dan bekerja semata-mata atas habuan wang dan kedudukan.
Muslimat perlu menggerakan kekuatan dan menyatukan saf bagi menghadapi tentangan Wanita Umno ini yang sudah pastilah kelihatan kukuh dan hebat kerana suntikan kewangan dari berbagai sumber.
Kekuatan kita adalah pada Islam yang kita kendung dan bela. Insyallah dengan gerak kerja yang tersusun yang digandingkan dengan perpaduan jemaaah, tidak mustahil Wanita Umno yang kukuh dan hebat ini boleh jatuh dan rebah ditangan Muslimat PAS.
Kini Umno melahirkan pula Puteri Umno untuk turut menlangsungkan agenda kebatilan mereka. Untuk ini PAS meletakkan harapan besar kepada Nisa’ agar memacu tenaga, mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, lebih mesra dan beradap berlandaskan syariat Islam, yang jauh dicicirkan oleh Puteri Umno itu, bagi membela dan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.
Syabas diucapkan kepada Nisa Malaysia kerana berani dan terkehadapan dalam menganjurkan Nisa Games 2007 baru-baru ini di Kota Bharu yang telah membuka mata rakyat jelata akan kemampuan Muslimat muda PAS dalam menganjurkan sukan berkelas kebangsaan, yang dapat memberikan pilihan bersukan kepada wanita Islam khansya dan wanita lain secara amnya.
Sidang muktamirat sekalian
Kita nanti akan melangkah keluar dari dewan muktamar ini untuk menghadapi peperangan pilihanraya yang dijangka akan diadakan dalam waktu yang terdekat ini. Dengan bilangan pengundi wanita yang besar mencecah 50% dalam negara maka sudah pastilah PAS mengharapkan agar Dewan Muslimat dapat berperanan menambat dan menawan hati segmen pengundi terbesar ini dan pada waktu yang sama turut membantu memperteguhkan jentera Barisan Alternatif bersama rakan kita dari Parti Keadilan Rakyat.
Memang selama ini PAS begitu berpuas-hati dengan peranan dewan ini namun ianya tidak seharusnya berhenti di situ. Usaha-usaha untuk memperkemaskini dan melengkapkan diri dengan berbagai persediaan dan bekalan penting bagi memastikan kejayaan PAS di masa yang terdekat ini.
Sidang muktamirat sekalian
Dewan Muslimat perlu unggul dan sentiasa reseptif kepada perubahan. Usaha-usaha "repackaging" bagi mendekatkan dewan ini dengan masyarakat luar hendaklah terus digembeling agar tidak ada lagi penghalang yang mampu menyekat usaha-usaha dan kerja Muslimat untuk terus berada di arus perdana politik Malaysia.
Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden Pas
14 Jamad al-Awwal 1428/31 Mei 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment