Saturday, June 9, 2007

Ucapan Perasmian Dewan Muslimat PAS Ke-53

Ucapan Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat Ke-53
Ustaz Nasharudin Mat Isa
Thu | May 31, 07 | 11:37:07 AM

Puan Pengerusi Tetap;Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ahli Ahli Jawantkuasa PAS Pusat, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Ketua-ketua Dewan Musimat PAS negeri-Pimpinan dan wakil-wakil Wanita BA dan NGO; Para diplomat dan dif-dif jemputan kehormat; Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian,

Alhmadulillh syukur ke hadrat Allah swt di atas limpah keizinan Nya dapatlah saya pada hari ini diberikan kesempatan untuk meresmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali yang ke 47. Diambang 50 tahun kemerdekaan negara ini sesungguhnya peranan wanita di Malaysia menjadi semakin mencabar dan PAS berbangga kerana Dewan Muslimatnya kelihatan sentiasa responsif dan proaktif bergerak memartabatkan golongan wanita dalam kerangka Islam yang merupakan dokongan kita.

Beberapa usaha yang diambil oleh Dewan Muslimat yang seiringan dengan hasrat kita untuk memberikan nafas baru kepada pendekatan PAS melalui engagement dan repackaging ternyata telah membuahkan hasil dan menguntungkan perjuangan.

Sidang muktamirat sekalian

Dalam perkara-perkara yang membabitkan wanita, Islam tidak pernah mendapat pembelaan yang adil. Islam sentiasa dilihat seolah mengongkong dan merendahkan martabat wanita. Apa sahaja berkenaan hukum-hakam Islam yang membabitkan wanita sering dipandang mendiskriminasi golongan ini. Dan persepsi buruk ini menjadi bertambah keruh apabila dari kalangan individu dan organisasi yang berlabel Islam turut sama tumpang mengelirukan tafsirannya.

Masyarakat menjadi semakin keliru melihat gelagat dan aksi pimpinan negara, sehinggakan ada yang berpandangan bahawa apa yang ditonjolkan oleh golongan sekular yang liberal inilah Islam yang sebenarnya.

Bertolak dari sinilah maka peranan Dewan Muslimat PAS dalam menzahirkan imej Islam yang sebenar sungguh besar dan mencabar khususnya dalam hal-hal yang membabitkan wanita. Kita mahu Islam difahami dan tidak dikelirukan, oleh itu selaku pembawa panji-panji Gerakan Islam dalam negara ini, kita perlu kehadapan dalam merongkai kekusutan ini, mudah-mudahan keindahan Islam itu dapat dirasai, dinikmati dan yang pentingnya difahami oleh semua pihak tanpa prasangka dan prejudis.

Sidang muktamirat sekalian

PAS tidak pernah bermuka-muka dalam mengenengahkan Islam yang sebenarnya. PAS tidak pernah bermusim-musim dalam menonjolkan Islam yang sebenarnya. Dalam isu wanita contohnya PAS sangat jelas dan komited untuk menunjukkan betapa Islam sesungguhnya memberi penghormatan tinggi kepada golongan ini dan Muslimat PAS berperanan bagi menjelaskan perkara ini. Islam dikatakan mendiskriminasi golongan wanita, mencabul hak mereka dan meletakkan mereka sebagai warga kelas kedua.

PAS berdiri dan memperbetulkan persepsi jahat ini. Diperingkat pimpinan tertinggi parti, wakil Muslimat duduk sebagai ahli yang dipilih dan dilantik. Diperingkat Parlimen PAS mempunyai dua orang wakil Muslimat sebagai Senator di Dewan Negara manakala di Dewan Undangan Negeri Kelantan PAS mempunyai seorang ADUN wanita. Ini menunjukkan betapa rapuhnya tuduhan dan serangan musuh itu.

Malah diperingkat pentadbiran negeri Kelantan sendiri, negeri yang dikuasai oleh PAS, peranan wanita tidak pernah dikesampingkan. Kerajaan PAS Kelantan mengorak langkah apabila melantik Penghulu-penghulu dikalangan wanita di negeri ini. Langkah ini adalah bukti betapa PAS mengiktiraf dan menghargai pernanan wanita. Demikian juga ahli-hali majlis PBT di negeri ini.

Dimana pergi para pengkritik yang menyerang Islam tadi dalam hal-hal yang saya sebutkan ini?

Sidang muktamirat sekalian

Dalam hal ini Muslimat PAS perlu bersedia menjadi penghubung antara kita dan masyarakat luar. Kita menjadi penghubung dengan mereka apabila kita bersedia ke hadapan menjalin hubungan dengan kelompok dan kumpulan masyarakat di luar ataupun kita menjadi penghubung dengan memberikan penampilan yang sebenar tentang Islam dalam setiap tindakan dan gerak aktiviti kita. Rata-rata masyarakat diluar mahu mendengar dan mendampingi Islam, yang menjadi penghalang lazimnya adalah tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak musuh. Kita seharusnya mengembeleng tenaga memecahkan tembok penghalang ini agar Islam dalam bentuknya yang sebenar sampai terus kepengetahuan masyarakat samada kepada yang Islam atau bukan Islam.

Biar Islam khasnya yang berhubung isu-isu kewanitaan diperolehi penjelasannya terus dari kita dan bukannya pihak kedua atau ketiga yang hanya akan mencedera dan merosakkan imej dan martabat agama itu.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan rombongan yang baru-baru ini ini telah terjun ke tengah kancah masyarakat di Lorong Haji Taib sejurus selepas majlis perasmian Bangunan PAS Pusat yang baru di Jalan Raja Laut. Usaha mendekati golongan yang telah tergelincir ke jalan maksiat ini membuktikan bahawa PAS bersedia mendekati mana-mana pihak sahaja asalkan di sana ada peluang dan ruang untuk berdakwah dan membawa mereka kembali ke arus perdana Islam.

Usaha dan langkah proaktif ini perlu diteruskan bukan hanya di Lorong Haji Taib tetapi disetiap ceruk dan sudut yang membuka peluang harapan bagi kita untuk melebarkan luaskan dakwah disamping mendekati masyarakat yang selama ini dipinggirkan oleh Umno dan BN.

Sidang muktamirat sekalian

Sebagaimana di dalam Muktamar Dewan Pemuda semalam, di Muktamar Dewan Muslimat ini saya turut mahu mengambil kesempatan menekankan kepada para muktamirat sekalian akan aspek FIQHUL AWLAWIYAT atau FIQH KEUTAMAAN ataupun FIQH OF PRIORITY. Aspek ini menekankan betapa pentingnya Dewan Muslimat mengenal pasti dan menyusun keutamaan dalam merangka pelan tindakan supaya gerak kerja kita sentiasa rapi dan tersusun dan lebih penting lagi menepati tuntutan kita sebagai sebuah Gerakan Islam.

Diperingkat ini keutamaan kita sudah pasti adalah memperbetulkan saf kita, dan merujuk kepada Ucapan Dasar Dato Seri Tuan Guru Presiden pada Muktamar PAS yang ke 51 dahulu, betapa penegasan dan keutmaaan perlu diberikan kepada AQIDAH SOMIMAH iaitu AQIDAH YANG JITU ke arah pemantapan pengangan kita supaya sentiasa dalam apa suasana sekali pun ianya selari dan seiringan dan tidak sekali-kali bertentangan dengan AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH yang sama-sama kita pegang. Segala aspek yang menyentuh perkara-perkara USULI hendaklah sentiasa kita pertahankan dengan penuh cemburu manakala perkara-perkara yang FURU sepatutnya tidak lagi mengikat kita dalam perbalahan yang tidak berkesudahan.

Apabila AQIDAH SOMIMAH ini telah jelas insyallah ianya akan mampu memantapkan saf kita disemua peringkat dalam satu ukhuwah yang nanti akan diikat dengan kemas dan teguh oleh MAHABBAH yakni kasih-sayang serta saling hormat-menghormati. Percayalah saf yang teguh dan mantap ini nanti akan memberikan kita kekuatan dan keyakinan apabila menghadapi masyarakat luar yang akan sentiasa memerhati dan menilai kita.

Sidang muktamirat sekalian

Sesunggunhya Muslimat PAS telah melangkah jauh sejak parti ini ditubuhkan kira-kira 56 tahun lalu. Menurut rekod Ketua Dewan Muslimat PAS hari ini Ustazah Azizah Khatib Mat merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang ke 10 sejak tahun 1955. Sudah pastilah sepanjang usia yang dewasa ini kita telah memungut pelbagai pengalaman pahit-manis yang seharusnya mampu menjadi panduan dan pedoman kepada parti bagi menongkah arus perjuangan seterusnya yang semakin hangat dan mencabar. Sudah pastilah juga cabaran-cabaran yang ditempuh berbeza-beza dari satu dekad ke satu dekad yang lain. Sewajarnya peningkatan usia ini turut mendewasakan kita dalam mengurus parti dan menghadapi cabaran yang luas terbentang di hadapan.

Saya menyeru agar Dewan Muslimat selaku sayap terpenting parti sentiasa memberikan fokus dan keutamaan kepada mempertingkatkan kekuatan dalaman kerana tugas dan tanggungjawab yang menunggu kita begitu berat dan besar. Seteru utama Muslimat PAS dalam perjuangan kita sudah pastilah Pergerakan Wanita Umno yang rata-rata bergerak dan bekerja semata-mata atas habuan wang dan kedudukan.

Muslimat perlu menggerakan kekuatan dan menyatukan saf bagi menghadapi tentangan Wanita Umno ini yang sudah pastilah kelihatan kukuh dan hebat kerana suntikan kewangan dari berbagai sumber.

Kekuatan kita adalah pada Islam yang kita kendung dan bela. Insyallah dengan gerak kerja yang tersusun yang digandingkan dengan perpaduan jemaaah, tidak mustahil Wanita Umno yang kukuh dan hebat ini boleh jatuh dan rebah ditangan Muslimat PAS.

Kini Umno melahirkan pula Puteri Umno untuk turut menlangsungkan agenda kebatilan mereka. Untuk ini PAS meletakkan harapan besar kepada Nisa’ agar memacu tenaga, mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, lebih mesra dan beradap berlandaskan syariat Islam, yang jauh dicicirkan oleh Puteri Umno itu, bagi membela dan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Syabas diucapkan kepada Nisa Malaysia kerana berani dan terkehadapan dalam menganjurkan Nisa Games 2007 baru-baru ini di Kota Bharu yang telah membuka mata rakyat jelata akan kemampuan Muslimat muda PAS dalam menganjurkan sukan berkelas kebangsaan, yang dapat memberikan pilihan bersukan kepada wanita Islam khansya dan wanita lain secara amnya.

Sidang muktamirat sekalian

Kita nanti akan melangkah keluar dari dewan muktamar ini untuk menghadapi peperangan pilihanraya yang dijangka akan diadakan dalam waktu yang terdekat ini. Dengan bilangan pengundi wanita yang besar mencecah 50% dalam negara maka sudah pastilah PAS mengharapkan agar Dewan Muslimat dapat berperanan menambat dan menawan hati segmen pengundi terbesar ini dan pada waktu yang sama turut membantu memperteguhkan jentera Barisan Alternatif bersama rakan kita dari Parti Keadilan Rakyat.

Memang selama ini PAS begitu berpuas-hati dengan peranan dewan ini namun ianya tidak seharusnya berhenti di situ. Usaha-usaha untuk memperkemaskini dan melengkapkan diri dengan berbagai persediaan dan bekalan penting bagi memastikan kejayaan PAS di masa yang terdekat ini.

Sidang muktamirat sekalian

Dewan Muslimat perlu unggul dan sentiasa reseptif kepada perubahan. Usaha-usaha "repackaging" bagi mendekatkan dewan ini dengan masyarakat luar hendaklah terus digembeling agar tidak ada lagi penghalang yang mampu menyekat usaha-usaha dan kerja Muslimat untuk terus berada di arus perdana politik Malaysia.

Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden Pas
14 Jamad al-Awwal 1428/31 Mei 2007

Jawatankuasa Dewan Muslimat Pusat

Berikut adalah senarai ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS yang telah dipilih daripada pemilihan yang berlangsung di Hotel Perdana.

Pengerusi Tetap : Norhashimah Deraman
Timbalan Pengerusi Tetap : Wan Hamidani Wan Ahmad
Ketua : Nuridah Mohamed Salleh
Timbalan Ketua : Wan Hasrina Wan Hassan
Naib Ketua : Siti Zailah Md Yusof
Ahli Jawatankuasa : Senator Wan Ubaidah
: Mastura Ahmad
: Dr Siti Mariah Mahmud
: Senator Mumtaz Mat Nawi
: Aiman Athirah al-Jundi
: Nurul Huda Yusof Rawa
: Dr Halimah Ali
: Rosiah Salleh
: Fatimah Ibrahim
: Dr Rosni Adam
: Munirah Athirah Hasan Adli
Pemeriksa Kira-kira 1 : Farah Ahmad
Pemeriksa Kira-kira 2 : Asmah Daroni

" Merakyat Perjuangan "

Ucaptama Ketua Pemuda PAS Pusat: 'Merakyat Perjuangan'
Salahuddin Ayub
Thu | May 31, 07 | 09:04:02 AM

Saudara Pengerusi Tetap, Al-Fadhil Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa; Timbalan Presiden PAS, Wakil-wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Saudara Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Pengarah Muktamar, Saudara Bendahari dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Pimpinan dan wakil-wakil Pemuda BA dan NGOs.

Para diplomat dan dif-dif jemputan kehormat

Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian, Firman Allah SWT,

"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan, supaya kamu menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.." - (Surah al-Baqarah: Ayat 143)

MUQADDIMAH

Alhamdulillah, kita memanjatkan jutaan syukur kepada Allah SWT kerana dapat bersidang pada malam ini di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-48 di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) ini. Selawat dan salam juga kita panjatkan kepada Rasulullah SAW yang telah membawa rahmat Islam kepada seluruh pelusuk alam.

Muktamar pada tahun ini amat bermakna bagi kita kerana ia mungkin merupakan muktamar terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-12. Muktamar kali ini adalah satu forum terbaik untuk menggariskan persiapan kita menghadapi pilihan raya tersebut.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini di mana gerak kerja kita berpusat di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, kini kita telah melangkah ke tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur dengan perpindahan ke Pejabat Agung baru di Jalan Raja Laut. Perubahan pusat pentadbiran ini mudah-mudahan memberikan dorongan baru untuk kita lebih agresif dalam memacu perjuangan.

Saya menjangkakan bahawa muktamar ini akan menjadi medan yang akan digunakan sebaiknya oleh para perwakilan untuk memberikan teguran, kritikan serta pandangan membina bagi mengukuhkan lagi gerak kerja kita untuk meneraju kebangkitan perjuangan.

Islam kuasa baru politik dunia

Sidang muktamirin sekalian,

Kita bermuktamar hari ini dalam suasana kebangkitan Islam mencabar kuasa politik unipolar Amerika Syarikat (AS) yang menjajah dunia sejak kejatuhan Soviet Union pada 1990. AS dan sekutu rapatnya Israel telah menaja kemusnahan kepada dunia. Peperangan dan penjajahan di Afghanistan, Iraq dan Lubnan adalah angkara tangan jahat mereka. AS- Israel sengaja mencetuskan pergolakan politik dunia supaya senjata- senjata pemusnah baru ciptaan mereka dapat dipasarkan.

Persoalan senjata nuklear terus dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan AS menjarah dunia ini. AS bersikap talam dua muka apabila cuba menyekat pembangunan teknologi nuklear di negara membangun, tetapi terus membiarkan kuasa-kuasa besar Peranchis, Britain, Russia, China dan Israel menguji senjata nuklear mereka. Hakikatnya AS bimbang dengan kemunculan kuasa-kuasa nuklear baru yang dilihat berupaya mengancam kepentingan AS dan Israel. Kita kesal apabila AS terus menekan Iran menggunakan isu nuklear ini. Di Iraq sebelum inipun mereka mencanangkan kononnya Baghdad mempunyai senjata pemusnah, tetapi sehingga hari ini fitnah tersebut tidak dapat dibuktikan.

Apa tujuan sebenar kejahatan yang ditaja oleh AS ini? Segala konspirasi jahat Amerika telah didedahkan dengan bukti-bukti yang emperikal oleh Ken Mc Clure dalam bukunya The Gulf Conspiracy - The battle's over. The War's just begun. Kita percaya bahawa AS-Israel ingin menghalang kebangkitan Islam sebagai kuasa pengimbang yang baru pada alaf ini. Di rantau AS dan Eropah sendiri, populasi umat Islam bertambah dengan pesat dan ini sangat membimbangkan kuasa Barat. Tindakan rakyat AS memilih orang Islam sebagai senator di AS telah menjadi tamparan kepada usaha George W Bush melabelkan Islam sebagai pengganas. Bush, Tony Blair dan penyokong-penyokongnya sudah tidak popular lagi di kalangan rakyat sendiri. Maka tidak hairan apabila rakyat negara-negara Amerika Latin memilih golongan yang anti AS sebagai pemerintah. Hugo Chavez, Presiden Venezuela begitu menonjol menggantikan Fidel Castro untuk mengepalai gerakan anti kezaliman AS ini.

Dalam pada itu, kita menyeru pemimpin-pemimpin umat Islam mengambil tindakan proaktif menyelesaikan isu-isu penindasan di Palestin, Khasmir, Selatan Thai, Moro, Iraq, Afghanistan, Lubnan, Chechnya, Bosnia, Sudan dan lain-lain. Isu-isu ini tidak akan dapat diselesaikan selagi pemimpin umat Islam tidak mempunyai kehendak politik (political will) untuk membela kepentingan saudara seagama mereka. Kita tidak tahu apa sebenarnya fungsi OIC dalam soal ini dan mengapa Pengerusi OIC lebih leka merasmikan pameran batik dan kebaya ketika umat Islam terus menderita di merata dunia.

Kita tidak boleh hanya sekadar berbangga kerana mengetuai OIC tetapi tidak berupaya untuk mengangkat martabat ummah Islam. Malaysia bukan sahaja tidak membawa OIC ke mana-mana, tetapi Pengerusi OIC sendiri langsung tidak dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai pemimpin umat Islam global.

Umat Islam memerlukan pemimpin yang boleh mewakili dan membela kepentingan mereka dalam percaturan politik dunia. Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmedinejad yang berani mengatakan tidak kepada AS dan mempertahankan kedaulatan negaranya daripada dicabuli oleh syaitan besar dunia itu dan Sheikh Hassan Nasrallah yang memimpin rakyat

Lubnan menghalau penjajah Israel sehingga memporak-perandakan politik negara haram itu patut menjadi contoh buat Pengerusi OIC dan pemimpin-pemimpin Islam lain. Inilah contoh pemimpin yang berjaya mempertahankan kepentingan umat Islam daripada kuasa asing.

Erti 50 tahun merdeka

Para hadirin sekalian,

Ibnu Khaldun seorang tokoh pemikir Islam, pengasas ilmu sosiologi dalam karya agungnya Al Muqadimah menyatakan "kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah kesannya akan dideritai oleh rakyat paling singkat setengah abad".

Voltaire seorang ahli falsafah barat zaman renaissance berkata when the goverment is wrong, it is dangerous to be right. Saya sengaja membawa ungkapan ini untuk mengambarkan betapa besarnya implikasi sekiranya seseorang pemimpin melakukan kesilapan dan kesalahan, sejarah telah menyaksikan rakyatlah menjadi mangsa kesangsaraan yang dimamah waktu dan zaman.

Pada tahun ini genaplah usia jubli emas sejarah kenegaraan Malaysia yang merdeka. Perjuangan menegakkan kemerdekaan yang begitu panjang lagi memeritkan telah memakan korban harta dan jiwa yang bukan sedikit. Kita mendoakan agar roh para syuhada’ dan pejuang- pejuang yang ikhlas untuk membebaskan tanah air kita daripada cengkaman penjajah dikurniakan rahmat yang berpanjangan oleh Allah SWT.

Sebagai mengenang perjuangan yang panjang ini, suka saya mengingatkan kembali bahawa kelompok yang pertama bangkit menongkah penjajahan bukanlah golongan nasionalis, sebaliknya para ulamak dan pejuang Islamlah yang terawal menyatakan peri pentingnya kemerdekaan ini. 450 tahun sebelum penubuhan UMNO, para ulamak sejak 1511 telah berjihad untuk mengembalikan kemerdekaan negara. Penglibatan para ulama dari seluruh nusantara seperti Demak, Ceribon, Japara, Champa dan Acheh terpahat dalam sejarah perjuangan untuk membebaskan Melaka.

Nama-nama syuhada' terkenal seperti Adipati Yunus, Raja Haji Marhum Teluk Ketapang, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Mas'ud al- Banjari dan Tok Janggut semuanya dari kalangan ulamak. Bahkan, pada abad ke-19 penjajah berusaha keras untuk menyekat gerakan kemerdekaan yang dipimpin oleh Sheikh Ahmad Al-Fathoni yang berpusat di Mekah. Daripada kebangkitan di Mekah inilah tumbuhnya kesedaran menyeluruh melalui madrasah-madrasah dan pondok- pondok, kemudian membentuk inteligensia Melayu yang menaja pemikiran pembaharuan yang membawa gagasan kemerdekaan.

Kita tidak mungkin mengenal majalah al-Imam atau Madrasah al- Mashoor jika tidak kerana gerakan ulamak. Pada 1948, semua kesedaran untuk merdeka ini telah bersatu di Maahad Al-Ihya' as-Syariff, Gunung Semanggol untuk melahirkan Hizbul Muslimin dengan matlamat merdeka dan Darul Islam. Daripada cita-cita Hizbul Muslimin inilah PAS dilahirkan pada 23 Ogos 1951.

Kita juga tidak mungkin boleh melupakan gerakan yang dianggap "kiri" oleh penjajah dalam usaha meniupkan semangat kemerdekaan. Sepertimana sejarah yang tidak boleh dibohongi, buku Memoir Ahmad Boestamam – Merdeka dengan Darah dan Api sepatutnya menjadi khazanah yang perlu didedahkan sebagai fakta dalam usaha para sejarawan kita menulis semula sejarah kemerdekaan negara.

Pada hari ini UMNO bertempik di sana sini bahawa merekalah pejuang sebenar kemerdekaan. Walhal mereka adalah anak didik penjajah yang tidak berani berkata tidak kepada British ketika Natrah dimurtadkan pada 1950. Walaupun UMNO ditubuhkan pada 1946, tetapi merdeka bukanlah matlamat mereka. UMNO dipimpin oleh aristokrat Melayu yang berpendidikan Barat yang berasa terjejas ekoran penyisihan kuasa Raja-raja Melayu dalam Malayan Union. Selepas 1951 iaitu setelah kemasukan bekas-bekas ahli Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), barulah UMNO berani bercakap soal kemerdekaan.

Sudah tentu sebagai anak didik Barat, mereka dicaturkan untuk mengambil alih kepemimpinan negara dari tangan British. Lord Gladstone, bekas Perdana Menteri Inggeris berucap dalam parlimen Britian bahawa "lambat laun negara-negara yang ditakluk oleh Inggeris akan dimerdekakan tetapi kita perlu pastikan mereka yang mengambilalih kuasa adalah anak didik kita sendiri". Penjajah tidak mahu kepentingan mereka terjejas jika kemerdekaan ini diserahkan kepada golongan Islamis yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Semua golongan yang anti penjajah menganggap Dr Burhanuddin adalah ketua mereka, melainkan pengikut UMNO yang pro penjajah sahaja berketuakan Tunku Abdul Rahman. Bahkan, pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar sendiri menerima Dr Burhanuddin sebagai ketua rakyat Tanah Melayu dalam merangka kemerdekaan.

Malangnya, di bawah pemerintahan UMNO, setelah 50 tahun Tanah Melayu merdeka, kemerdekaan ini tidak diisi dengan falsafah negara- bangsa merdeka yang sebenar. Orang-orang Melayu sebagai peribumi asal semakin terpinggir, tidak menguasai budaya dan kekayaan negara, merempat di negara sendiri dan terjebak dalam pelbagai kancah kebejatan sosial, bahkan lebih teruk daripada ketika di bawah penjajahan.

Walaupun secara fizikal, wujudnya pembangunan yang dibangga- banggakan, tetapi ia tidak memberi apa-apa erti kerana jiwa dan pemikiran rakyat terus dipenjara dalam sistem demokrasi yang berbau kuku besi oleh UMNO/ BN. Keretapi laju dan bangunan mencakar langit hanya kosmetik di sebalik kerakusan pemimpin BN menindas dan menzalimi rakyat. Allah SWT memberi kita ingatan tentang pembangunan yang lompang nilai dalam firman-Nya:

"Tidakkah engkau (wahai Muhammad) perhatikan, bagaimana Tuhanmu melakukan terhadap Kaum 'Add (yang kufur). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan yang tinggi tiangnya. Yang belum pernah dibina sepertinya (besar dan kukuh) di mana-mana negeri (pada zamannya). Dan (terhadap) Kaum Tsamud yang memahat batu-batu besar di lembah. Dan(terhadap) Firaun yang menguasai bangunan- bangunan yang kukuh. (Semua itu adalah) orang-orang yang bermahajaralela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri itu. Dengan demikian, Allah mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab". - (Surah Al-Fajr: 6-13 )

Oleh itu, dalam merayakan 50 tahun kemerdekaan ini, Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat supaya kembali kepada matlamat asal berjuang mencari kemerdekaan. Jangan kita fikir bahawa hanya kuasa asing sahaja boleh menjajah negara kita, tetapi kita sebenarnya boleh terjajah oleh kezaliman, penyelewengan, penindasan dan salah guna kuasa pemimpin bangsa kita sendiri. Hidup dalam belenggu kezaliman seperti hari ini tidak ubah seperti hidup dalam penjara besi pada zaman barbarian yang tidak memberi makna kemanusiaan.

Pilihan raya adalah medan terbaik untuk rakyat mendapatkan makna kemerdekaan yang sebenar. Peluang untuk memilih pemimpin dan kerajaan mesti digunakan sebaik mungkin kerana kesilapan kita memilih pemimpin selama 50 tahun yang lalu telah kita lihat kesannya pada hari ini. Jika kita tidak menolak segala bentuk kezaliman ini melalui undi dalam pilihan raya, maka pemimpin BN akan terus bermaharajalela terhadap kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Persiapan pilihan raya: Demokrasi atau Demagogi

Para muktamirin sekalian,

Selepas berakhir beberapa siri pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir, Batu Talam, Machap dan Ijok, ahli-ahli politik dan para pemerhati politik memperkatakan tentang kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-12 akan diadakan dalam masa yang terdekat, selewat-lewatnya suku pertama tahun hadapan. Saya tidak bermaksud untuk membuat ramalan tentang tarikh pilihan raya, tetapi ingin menegaskan bahawa kita bermuktamar pada hari ini di ambang pilihan raya. Oleh itu, saya meletakkan harapan yang tinggi agar himpunan tahunan ini melonjakkan pacuan gerakerja pilihan raya Dewan Pemuda PAS.

PAS menyertai pilihan raya semenjak ia pertama kali diadakan pada 1955, walaupun ketika itu beberapa parti pembangkang bertindak menolak pilihan raya itu. Sebaliknya, PAS komited untuk terus memilih jalan 'muwajahah silmiyah' ini yang bukan sahaja menunjukkan betapa PAS menolak pendekatan yang dianggap ekstrem, bahkan PAS meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus mempertahankan demokrasi di negara ini. Lebih 50 tahun PAS berjuang melalui medan pilihan raya, dan PAS tidak pernah serik dengan kekalahan atau mengambil langkah-langkah di luar batas undang-undang dalam menjayakan visi dan falsafah politik PAS yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Batu Talam yang selama ini menjadi kawasan tradisi PAS bertanding telah mencipta sejarah politik tanah air apabila kita mengambil tindakan memboikot pilihan raya kecil pada 28 Januari 2007 itu. Ia bertitik-tolak daripada kekesalan kita terhadap proses pilihan raya tidak dilaksanakan secara demokrasi yang sebenar. Rakyat dibohongi oleh kezaliman Kerajaan BN dengan mewujudkan proses pemilihan yang kotor, media yang berat sebelah, pengendali pilihan raya (SPR) yang berpihak, persempadanan yang dilukis untuk menyelamatkan BN dan lain-lain. Karektor-karektor tertentu sengaja diwujudkan untuk membolehkan ia dilegitimasikan sebagai 'demokrasi, walhal ia adalah demokrasi yang sangat tempang.

Wajah demokrasi kita menjadi semakin kabur, seperti beralihnya warna kuning kepada kekuning-kuningan, begitulah demokrasi kita yang kini 'kedemokrasi-demokrasian'. Dewan Pemuda PAS mengutuk amalan jelek Kerajaan BN yang terus mencengkam demokrasi dan kebebasan rakyat, tetapi dalam masa yang sama mereka bercakap dalam nada munafik untuk menyeru rakyat supaya lebih integritif, membangunkan modal insan dan melahirkan masyarakat yang berasaskan ilmu (knowledge-based society). Hakikatnya, kepemimpinan BN bertindak menyalahguna demokrasi untuk memperkudakan rakyat bagi kepentingan sendiri.

Prof. W.A. Bonger dalam menjelaskan "Problem of Democracy" menyatakan pemimpin politik yang menyalahgunakan nama rakyat dan menafikan kedaulatan rakyat untuk kepentingan politik mereka sebagai "kaum demagogi", yakni yang berpura-pura menyuarakan suara rakyat, tetapi melaksanakan undang-undang secara wewenang. Demagogi adalah parasit politik yang bersifat anti demokrasi yang lebih berkerabat dengan feudalisme, autokrasi, kapitalisme, dan lain- lain yang menafikan kedaulatan dan hak rakyat. Ternyata Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sepatutnya bertugas untuk rakyat atas nama Majlis Raja-raja, kini menjadi budak dan barua BN dalam menggerakkan politik demagogi di negara ini.

Dewan Pemuda PAS berikrar untuk bekerja sehabis kuat untuk mengembalikan semula hak dan kedaulatan ini kepada rakyat. Kita akan menggerakkan kesedaran rakyat untuk bangkit bersama-sama bagi menolak kezaliman politik yang ditaja oleh BN. Kita memberi kata dua kepada UMNO/ BN iaitu jika mereka gagal memulihkan demokrasi berpilihanraya ini, Pemuda PAS akan memimpin rakyat turun ke jalanraya bagi menolak kezaliman tajaan BN.

Saya menyeru ahli-ahli Dewan Pemuda PAS supaya bekerja lebih keras dalam segenap aspek meliputi soal hubungan dengan Allah melalui pembinaan syakhsiah diri, peningkatan ketaqwaan, penjanaan tawakal dan doa yang berterusan, serta pembaharuan hubungan sesama manusia meliputi soal pendekatan dakwah, strategi tindakan dan keberkesanan kerja.

Persiapan menghadapi pilihan raya mesti bertolak daripada kebergantungan kepada Allah, kemudian disusuli oleh pengemasan organisasi di peringkat Cawangan, Majlis Tindakan DUN, Kawasan, Negeri dan Pusat bagi menjamin usaha-usaha penyusunan strategi, aplikasi media, kerja sama politik dan gerak kerja rutin pilihan raya berjalan lancar.

Kita penuh percaya bahawa selagi mana PAS bekerja dengan ikhlas hati demi menegakkan agama Allah dan bekerja dengan cekap dan berkesan, maka tidak ada sebab mengapa Allah tidak boleh menolong untuk memberikan kemenangan kepada PAS. Firman Allah SWT,

"Allah sesungguhnya pasti akan menolong sesiapa yang menolong (agamaNya). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." - (Surah al-Hajj:40)

10 fokus gerak kerja - Merakyat Perjuangan

Sidang muktamar yang dikasihi,

Ruang kerja kita dalam menyeru manusia kepada Islam amat luas dan tidak terbatas. Tetapi dalam pendekatan khusus untuk menghadapi pilihan raya ini, Dewan Pemuda PAS meletakkan sepuluh (10) fokus gerakerja merakyat perjuangan yang perlu diberi tumpuan dan panduan dalam mengatur strategi dan merencana gerak kerja.

1. Memperjuangkan demokrasi yang telus dan bersih;

2. Memulihkan semula asas-asas kontrak sosial;

3. Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat;

4. Menolak kepimpinan rasuah dan bangkrap moral;

5. Menjana kebangkitan golongan pelajar dan belia;

6. Melahirkan rakyat yang sedia berkorban.;

7. Mempertahankan Kelantan sebagai benteng perjuangan – Negeri Tempat Istirehat Fakir dan Miskin.;

8. Membina minda negarawan.;

9. Meneruskan agenda ”Duta Penyelamat dan Kasih Sayang.;

10. Memperkasa pendidikan politik rakyat dan memperkukuh tarbiyyah dalaman.;

Sidang hadirin sekalian,

FOKUS 1: Memperjuangkan Demokrasi Yang Telus dan Bersih

Persoalan demokrasi bertukar menjadi demagogi yang telah saya sentuh sebentar tadi adalah cabaran kemaraan perjuangan kita memerdekakan Malaysia buat kali kedua. PAS bersama-sama beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mendesak Kerajaan BN, terutama SPR supaya memulihkan semula demokrasi di negara ini. Namun, SPR langsung tidak menghargai pandangan-pandangan rakyat supaya beberapa peraturan, proses perlaksanaan, persempadanan, pengurusan kempen dan media pilihan raya serta beberapa aspek lain yang berkaitan ketelusan perlaksanaan demokrasi perlu dibaik pulih.

Pemulihan demokrasi termasuklah mewujudkan kebebasan penyertaan dalam organisasi politik, kebebasan bersuara, hak pemimpin politik bersaing untuk mendapatkan sokongan dan undi, sumber alternatif maklumat yang seimbang serta ketelusan institusi-institusi yang terbabit dalam pembuatan polisi kerajaan. Malangnya di Malaysia hari ini, pencabulan ke atas institusi-institusi demokrasi ini berlaku hampir secara menyeluruh sehingga kita tidak lagi menikmati demokrasi sebenar. Bahkan hampir semua tindakan dan amalan politik BN hari ini menjadi counter-productive kepada budaya demokrasi yang tulin.

Lihat sahaja bagaimana Kerajaan BN bertindak memandulkan SPR, memaksa rakyat dengan akujanji, menghalang kebebasan media, mewujudkan padang permainan demokrasi yang tinggi sebelah untuk menekan pembangkang dan kumpulan pendesak dan mewujudkan akta-akta draconian supaya mulut rakyat terkunci rapat. Dalam masa yang sama institusi-institusi seperti judiciari, Badan Pencegah Rasuah, polis dan Peguam Negara tidak bebas mengagihkan keadilan kepada masyarakat, setelah dua pertiga majoriti di Parlimen disalahgunakan untuk mewujudkan undang-undang dan dasar-dasar yang menjerat leher rakyat.

Nah! Lihatlah bagaimana ketika rakyat seluruhnya menuntut supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) ditubuhkan untuk menyekat penyelewengan dalam pentadbiran PDRM, wakil- wakil rakyat BN semuanya sedondong menolak cadangan yang tidak menguntungkan Kerajaan BN itu. Ternyata mereka bukan wakil rakyat, tetapi “wakil kerajaan” yang sentiasa menindas rakyat. Semua sikap tidak demokratik pemimpin BN yang sanggup berbuat apa sahaja demi mempertahankan kelangsungan politik zalim mereka ini menjadi dalil bahawa BN tidak lagi perlu dikekalkan sebagai pemerintah.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan Kerajaan BN supaya menghormati martabat dan hak rakyat. Jangan gunakan mandat besar rakyat untuk memperbodohkan rakyat. Kesabaran rakyat ada batasannya. Bila rakyat tidak lagi yakin dengan pasukan polis, intitusi kehakiman dan perundangan , ini sangat bahaya. Pengalaman negara- negara Amerika Latin dalam buku Rogue State mengungkap “when the people take the law into their own hands” Kita memberi amaran jangan sampai rakyat meletakkan undang-undang dalam tangan mereka sendiri.

Dewan Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada usaha-usaha berterusan badan-badan seperti Penggerak Demokrasi dan BERSIH yang begitu komited untuk menjayakan demokrasi telus di negara ini. Usaha-usaha ini sebenarnya lebih progresif ke arah melahirkan masyarakat berasaskan maklumat (K-society) sekaligus membentuk minda kelas pertama dalam pembangunan modal insan. Begitu juga, tindakan proaktif Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP) menubuhkan Center for Election Reform Initiative (CERI) juga membuktikan komitmen PAS untuk memastikan perlaksanaan demokrasi yang memihak kepada rakyat berlaku di negara ini, sekali gus menonjolkan keyakinan PAS untuk terus berada di gelanggang demokrasi dalam mencapai cita-cita negara Islamnya.

FOKUS 2: Memulihkan Semula Asas-asas Kontrak Sosial

Sidang hadirin sekalian,

Malaysia asalnya adalah negara kepunyaan orang Melayu dan Bumiputra, dan orang-orang Melayu dan Bumiputra telah bersedia mengorbankan sebahagian kepentingan dan hak mereka untuk diberikan kepada orang-orang bukan Melayu dan Bumiputra dengan syarat orang bukan Melayu dan Bumiputra bersedia pula untuk mematuhi beberapa hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra. Demikianlah mafhum kontrak sosial yang wujud di negara kita sejak terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Kontrak sosial ini juga yang menjadi asas pembinaan negara-bangsa Malaysia yang merdeka pada 1957.

Malangnya, sejak kebelakangan ini, sudah ada anasir-anasir jahat yang mula mencabul kontrak sosial ini dengan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputra. Mereka bukan sekadar menuntut supaya meritokrasi diamalkan, tetapi juga turut mencampuri urusan agama Islam. Kita amat kesal apabila ada badan haram seperti Inter Faith Commission (IFC) ditubuhkan dengan sokongan beberapa menteri membuat tuntutan berbau perkauman kepada kerajaan. Sebelum ini pun kita sudah tersentuh mendengar isu-isu sensitif yang sengaja dibangkitkan seperti pencemaran bunyi azan, pengiktirafan terhadap si mati yang baru memeluk Islam, masalah penolakan ‘moral policing’ yang berteraskan akhlak Islam dan cabaran terhadap peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tentang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Kita sangat kesal dengan sikap kumpulan-kumpulan yang sengaja menimbulkan provokasi terhadap umat Islam dengan mencabar kuasa perundangan Shariah terhadap orang-orang Islam dalam kes murtad. Kita juga memberi amaran kepada gerakan-gerakan tertentu yang secara terang-terangan dan secara senyap menjalankan dakyah untuk memurtadkan umat Islam dalam negara. Mereka perlu disedarkan bahawa mereka telah mencabar peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyekat penyebaran agama di kalangan orang Islam. Kita mengucapkan tahniah kepada kumpulan-kumpulan NGO Islam yang tidak berdiam diri dalam perkara ini. Dewan Pemuda PAS tidak terkecuali untuk berganding bersama dengan rakan-rakan NGO yang lain mempertahankan martabat Islam melalui jawatankuasa yang kita namakan sebagai Front Bertindak Anti Murtad ataupun FORKAD.

Amat aneh sekali apabila UMNO yang berjaya memerintah pula yang bersikap bagai gunting dalam lipatan. Mereka sendiri merungkaikan satu demi satu kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputra walaupun ia sudah termaktub dalam undang-undang negara. Bermula dari tanah rizab yang semakin meminggir hinggalah kepada Bahasa Melayu yang satu masa dahulu menjadi alat nasionalisme untuk menentang penjajah. Hari ini Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kelas kedua di bumi orang Melayu. Ia sudah tidak laku di kantor-kantor korporat, tidak digunakan lagi di bilik-bilik kuliah dan kini mula dipandang jijik oleh anak-anak sekolah. Pandangan dan pendapat cendikiawan bahasa tidak dihargai oleh pemimpin UMNO kerana kononnya orang Melayu hanya boleh maju dengan menguasai bahasa penjajah.

Apabila UMNO sudah bersikap enteng terhadap kepentingan orang Melayu dan Bumiputra, maka ada pihak-pihak lain yang mulai mengambil kesempatan untuk menggugat sedikit demi sedikit kontrak yang sekian lama dipersetujui. Mereka sudah tidak lagi menghormati agama Islam sebagai agama negara, menuntut sesuatu yang telah jelas ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan, sentiasa mencabar sensitiviti orang-orang Islam dan tidak lagi menghargai pengorbanan orang-orang Melayu untuk berkongsi negara ini dengan mereka. Dewan Pemuda PAS mengutuk keras kelancangan pemimpin Gerakan yang secara terbuka mendesak kerajaan memecat seorang mufti kanan di negara ini.

Dewan Pemuda PAS mengutuk kebaculan UMNO sebagai pemerintah mempertahankan aqidah dan syiar Islam dan gagal menangani perkara ini secara bijaksana sehingga mencetuskan bibit-bibit yang tidak sihat dalam masyarakat majmuk di negara kita. Dewan Pemuda PAS juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja mencabar kesucian dan kedaulatan Islam bahawa kami sanggup mengorbankan apa sahaja demi mempertahankan Islam. Daripada hidup bercerminkan bangkai, biar mati bergalang tanah.

PAS sebagai parti Islam sejak dahulu lagi menghormati kedudukan orang bukan Islam sebagai warganegara Malaysia. PAS tidak pernah meminggirkan hak-hak mereka, bahkan PAS menyokong jika orang- orang Cina dan India mahu bahasa ibunda dan budaya mereka diperkasakan. PAS juga bersuara mendesak supaya orang-orang India yang miskin di estet-estet dibela. PAS tidak berjuang atas kepentingan rasis atau perkauman, tetapi kita mahu hak-hak dan kepentingan orang Melayu/Islam yang telah dipersetujui bersama tidak dicabuli. Dalam masa yang sama PAS mengutuk pengagihan kemakmuran negara dibuat mengikut pertimbangan politik puak, tetapi ia seharusnya mengikut keperluan sebenar rakyat. PAS menyokong jika biasiswa diberikan kepada orang-orang miskin yang bukan Melayu dan PAS menolak jika hak istimewa Bumiputera dimonopoli oleh orang-orang UMNO sahaja. Bahkan PAS menyokong Kongres Kepentingan Bangsa dan Dong Jiao Zhong dalam mempertahankan kepentingan bahasa ibunda.

Kita mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputra bukan atas dasar perkauman, tetapi kerana tidak mahu tragedi yang pernah menghitami sejarah negara pada 1969 berulang. Dasar-dasar yang diamalkan oleh pemimpin UMNO pada hari ini mengulangi kesilapan Tunku Abdul Rahman yang tidak melindungi kepentingan peribumi sehingga mencetuskan tragedi perkauman. UMNO jangan sewenang-wenang mengulangi provokasi perkauman seperti yang berlaku pada 1987 yang akhirnya dibebankan kepada pembangkang.

Kerana itu, Dewan Pemuda PAS mempertegaskan bahawa PAS akan terus mempertahankan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan melaksanakan kesepakatan kontrak sosial tersebut demi memastikan keadilan ekonomi di kalangan bangsa- bangsa dan kestabilan negara dapat diwujudkan. Kami juga ingin mengingatkan bahawa gagalnya hasrat DEB adalah berpunca daripada kebejatan amalan rasuah dikalangan pemimpin kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO. Kenapa setelah 50 tahun merdeka ada dikalangan anak menantu Perdana Menteri dan menteri-menteri dikalangan BN yang memiliki harta berbilion ringgit sedangkan ada lagi anak-anak orang miskin dikalangan orang Cina dan India tidak mendapat biasiswa untuk mereka melajutkan pelajaran?

Di Kelantan, PAS telah bertindak sebagai pengawal kepada kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputra dan hak-hak bangsa lain. Orang bukan Melayu turut diangkat martabat mereka melalui perlantikan Penghulu Tanpa Mukim, bebas mengamalkan agama termasuk membina tokong dan kuil, dan yang terbaru kerajaan BA Kelantan memberikan sumbangan RM10 ribu untuk membina pagar Hian Tuar Tample di Peringat.

Kerana itu kita mahu kontrak sosial ini dipulihkan semula dengan setiap pihak menghormati hak antara satu sama lain seperti yang telah dipersetujui semenjak 1948. Kita menyeru semua pihak supaya tidak membangkitkan ‘fitnah yang sedang tidur’ ini dan janganlah isu-isu yang bersifat perkauman, sentimen agama dan unsur-unsur primodial yang lain diungkit-ungkitkan. PAS tetap berpegang bahawa kita menghormati hak setiap kaum, tetapi kita tidak mahu hak orang Melayu dan kesucian agama Islam dicabuli sesuka hati.

FOKUS 3: Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat

Para hadirin sekalian,

Para pemimpin BN menganggap Malaysia telah berjaya kerana banyak namanya tercatat dalam Guiness Book of World Record. Begitu juga mereka berasa senang hati melihat indeks-indeks di Bursa Malaysia menunjukkan pencapaian terbaik semenjak 40 tahun yang lalu. Tetapi apakah benar semua data-data pada kertas itu mewakili apa yang dirasai oleh rakyat di ceruk-ceruk kampung dan juga dalam hiruk- pikuk kota?

Dalam sedar atau tidak sedar, pemikiran Neo-Liberalisme telah menjadi anutan pemimpin UMNO/ BN. Pemikiran inilah yang mendorong wujudnya perjanjian FTA dengan AS, penswastaan kesihatan dan pendidikan serta isu-isu kenaikan harga barang, kehabisan bekalan minyak masak, kenaikan harga gandum, kadar tol baru yang membebankan, harga baru petrol dan sebagainya. Semua inilah yang mewakili hakikat sebenar kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Dasar- dasar baru kerajaan seperti mengklusterkan sekolah, mengkronikan projek-projek kerajaan dan memilikkeluargakan harta negara telah menyebabkan rakyat semakin hari semakin terhimpit di negara sendiri. Apakah wajar rakyat membayar harga yang tinggi untuk seliter petrol, sedangkan Allah menganugerahkan Malaysia sumber galian yang begitu besar?

Jurang kaya miskin juga semakin melebar. Orang-orang miskin dan kedana terus wujud di mana-mana. Dakwaan bahawa kadar kemiskinan di Kelantan adalah tercorot rupanya didedahkan sendiri oleh media parti pemerintah seperti rancangan TV3 "Bersamamu" berleluasa di negeri-negeri yang diperintah BN. Kita berasa sangat pilu melihat penderitaan rakyat terbawah yang bukan sekadar tidak mampu menikmati kesihatan dan pendidikan, tetapi untuk mengisi perutpun belum tentu. Sedangkan dalam masa yang sama para pemimpin BN bersama anak menantu mereka terus mengungguli satu demi satu punca kekayaan. Kemewahan Perdana Menteri dengan kapal layarnya mengatasi keperluan buku teks hampir semua pelajar sekolah rendah.

Dewan Pemuda PAS amat bimbang jika jurang keprihatinan terhadap kemakmuran rakyat terus terabai, sebaliknya kekayaan negara terus dipunggah mengisi tembolok pemimpin-pemimpin BN. Jika ia berterusan, suatu hari nanti rakyat terbawah di negara ini akan menjadi mangsa dalam semua keadaan, dan mungkin boleh membawa kepada krisis keselamatan negara. Kita takut jika kemiskinan menjadi punca kekufuran, seperti yang pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW. Kerana itu kita menyeru kepada pemimpin BN supaya menginsafi peringatan Allah,

"(Ketetapan yang demikian) supaya harta kekayaan itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja". - (Surah Al-Hasyr: 7)

Beban hidup yang semakin meningkat tanpa usaha untuk memulihkan keperluan sosial rakyat telah beralih menjadi barah jenayah. Peningkatan kadar jenayah semakin parah, dan pada 2006 sahaja dilaporkan sejumlah 198,622 kes jenayah berlaku di seluruh negara. Pada 2006, dilaporkan 5,716 kes jenayah mencederakan yang boleh membawa kematian berlaku. Data-data ringkas ini amat menzahirkan tahap keselamatan rakyat kini berada pada tahap yang membimbangkan. Kerajaan BN membiarkan rakyat terus melarat, dalam masa yang sama enggan melaksanakan hukum-hukum Allah untuk mencegah jenayah.. Dewan Pemuda PAS berharap supaya usaha PAS untuk melaksana hukum hudud dan qisas bagi mewujudkan semula keamanan dapat difahami oleh pendukung Islam Hadhari di negara ini.

Beberapa hari yang lalu kakitangan kerajaan menerima kenaikan gaji . Pemuda Pas mengucapkan tahniah kepada CEUPACS dan menggangap wajar 1.2 juta kakitangan awam menerimanya dalam keadaan semua barang-barang keperluan hidup melambung naik dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Tetapi kerajaan jangan lupa masih ada lagi 25 juta rakyat yang menjadi mangsa daripada kenaikan harga petrol yang cukup menyiksakan.

PAS berusaha keras untuk memastikan kemakmuran dapat dinikmati bukan sekadar dapat makan dan minum, tetapi turut merasai nikmat keselamatan, kebahagiaan dan keselesaan dalam menjalani kehidupan.

FOKUS 4: Menolak Kepimpinan Rasuah dan Bangkrap Moral

Sidang hadirin sekalian,

Kebobrokan yang melingkari kehidupan rakyat pada masa ini bertolak daripada kecacamerbaan kepemimpinan negara. Seperti kata pepatah, "Buruk ikan bermula di kepalanya". Pemimpin yang sepatutnya menjadi suri tauladan kepada rakyat, pada hari ini menjadi bayangan maut terhadap akhlak rakyat. Indeks-indeks telah menunjukkan betapa parahnya gejala rasuah, keruntuhan moral, jenayah, penagihan dadah, HIV dan seumpamanya di kalangan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa.

Adakah semua ini berpunca daripada kejahatan wujud dalam diri setiap manusia atau kerana dipengaruhi oleh budaya tidak sihat yang diterapkan oleh pemimpin-pemimpin negara? Kita percaya bahawa semua manusia berkehendakkan kebaikan dan mereka tidak bekerja kerana menjana kemusnahan. Tetapi amat malang sekali apabila para pemimpin yang menguasai dasar negara begitu wewenang membina persekitaran yang menjahanamkan masa depan anak-anak bangsa.

Dulu Perdana Menteri melahirkan hasrat untuk membendung budaya rasuah, mewujudkan integriti, membebaskan sistem keadilan dan membenarkan kritikan kepada kerajaan, rupa-rupanya itu semua hanyalah omong kosong bagi membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baru. Ternyata "Mr. Clean" tidaklah sebersih yang disangka kini menjadi "Mr Bean" yang penidur.

Kegagalan kerajaan korup BN mengambil tindakan ke atas pemimpin- pemimpin tertinggi mereka yang telah diketahui umum terlibat dengan pelbagai skandal membuktikan janji hanya manis di bibir. Sebarisan menteri yang disenaraihitamkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri terus diberikan kepercayaan untuk memimpin negara. Kes-kes yang melibatkan individu berprofil tinggi terus dipendamkan sehingga hari ini tanpa khabar berita. Pendakwaan ke atas Eric Chia dan Kasitah Gaddam ternyata hanyalah kosmetik politik hipokrit mereka.

Begitu juga aduan-aduan terhadap pemimpin-pemimpin yang dicaliti tuduhan rasuah seperti Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan Zulkifli bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah terus didiamkan.

Lebih buruk lagi, ketika projek-projek kerajaan mula dikuasai oleh syarikat milik anak Perdana Menteri, saham-saham syarikat utama Bursa Malaysia mula dikuasai satu demi satu oleh menantu Perdana Menteri. Pentadbiran yang berasaskan kronism, korupsi dan nepotisme (KNN) terus menjadi amalan pemimpin tertinggi BN.

Kita masih kabur apa makna sebenar tuduhan Tun Dr Mahathir bahawa pembatalan projek Second Link mempunyai hubungan dengan projek ekonomi keluarga Perdana Menteri. Begitu juga dakwaan beliau bahawa projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) seperti menjual kepentingan negara.

Kita bimbang WPI akan menjadi Wilayah Pembangunan Iskandar dan Singapura ( WPIS) Dewan Pemuda PAS bimbang WPI mengulangi sejarah Perjanjian Raffles II diantara Raffles dan Tengku Hussein pada 1 Februari 1819 yang akhirnya menggadaikan Singapura daripada Tanah Melayu. Kwa Chong Guan dalam buku Malays/Muslims in Singapore: Selected Readings in History mencatatkan konspirasi tentang dua pihak, penjajah dan pemimpin tempatan:

"The meeting of Raffles and Tengku Husein on 1 February 1819 was ... the meeting of two worlds. One was the world of an expanding British merchantile empire seeking to maximise its wealth and power and blocking its continental rivals from enhancing their wealth and power. The other was the world of the Malay kerajaan continuing a historical dynamic that was began by a group of datus who in the 7th century made their home base around Bukit Seguntang on the Musi River where Palembang is today, the premier entrepot in the Straits of Melaka for some five centuries."

Mr. Clean yang melangkah ke Putrajaya dengan imej seorang ulamak yang mengimamkan solat jemaah akhirnya membuka pekung tentang sifat halobanya terhadap kemewahan dunia. Pembelian jet peribadi berharga RM200 juta dan kapal layar Cobra Sultan berharga RM30 juta telah menunjukkan hemah tidak baik seorang Perdana Menteri.

Walaupun Perdana Menteri menafikan bahawa beliau tidak membeli kapal layar tersebut, tetapi kita persoalkan untuk apa Ananda Krisnan menghadiahkan Perdana Menteri sebuah kapal layar yang begitu mahal? Dalam masa yang sama kroni utama Perdana Menteri, Patrick Lim "Badawi" dikurniakan projek-projek raksasa kerajaan seperti projek Teluk Warisan Terengganu, projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek Crescentria Park dan projek Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang kesemuanya bernilai hampir RM2 bilion.

Kita mengulangi soalan Tun Dr Mahathir, "Mr. Clean is clean or not clean?". Amalan rasuah, korupsi, kronisme, kemewahan melampau dan salah guna kuasa yang berakar umbi di Putrajaya telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara UMNO/ BN.

Apabila ada pemimpin negara yang dikaitkan dengan pelbagai skandal termasuk pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi secara yang salah serta penglibatan dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu, maka apakah masih mempunyai makna slogan integriti yang dilaungkan? Inikah modal insan yang dicanangkan oleh Perdana Menteri? Insan-insan seperti inikah yang akan memimpin negara ini?

Jika kita menukilkan setiap satu kebobrokan pemimpin BN daripada tertangkap bersama GRO di kelab malam sehinggalah kepada penglibatan dalam membuat kad pengenalan palsu, maka sudah tentu wacana kita pada malam ini tidak akan berakhir sehingga esok pagi. Apa yang saya boleh ungkapkan bahawa uswah hasanah yang mewarnai kecemerlangan kepemimpinan Rasulullah SAW tidak berbekas pada karektor pimpinan UMNO. Kerana itulah, hari demi hari rakyat negara ini semakin menjuarai amalan korupsi daripada merasuah polis di jalan raya sehinggalah membeli kapal layar untuk pemimpin di Putrajaya. Sepatutnya kita merenungi tauladan Rasulullah SAW sebagai pemimpin sebagaimana firman Allah:

"Sesungguhnya telah ada untuk kamu sekalian pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang paling baik; iaitu bagi sesiapa yang mengharapkan ganjaran Allah dan balasan yang baik di hari akhirat dan dia sentiasa mengingati Allah dengan banyaknya." - (Surah al-Ahzab: Ayat 20)

Semenjak dahulu PAS bercakap soal ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan. PAS bersedia untuk dikritik dan ditegur jika benar tindakan kita merugikan rakyat. Kita bangga melihat Menteri Besar Kelantan istiqomah mendiami rumahnya di Pulau Melaka walaupun sudah 17 tahun memimpin kerajaan.

Dewan Pemuda PAS juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan BA Kelantan kerana berani mengambil tindakan dalam isu Lojing setelah Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli gagal menguatkuasakan undang-undang ke atas penceroboh yang memusnahkan alam sekitar itu. Kepemimpinan seperti inilah yang akan menjadi teladan kepada rakyat supaya meletakkan kebenaran di tempat yang sebenarnya.

FOKUS 5: Menjana Kebangkitan Pelajar dan Belia

Dewan Pemuda Pas menggangap kenyataan Menteri Pengajian Tinggi untuk mengambil tindakan terhadap warga universiti yang dikatakan terlibat dalam beberapa siri pilihanraya kecil baru-baru ini adalah satu tindakan yang kejam, zalim dan tidak bertamadun. Kerajaan pimpinan Umno BN akan terus memperkuda dan memperbodohkan golongan pensyarah dan pelajar sebagai alat dan budak suruhan mereka semata- mata.

Sampai bilakah golongan pensyarah akan dilayan sebagai guru sekolah rendah? Sampai bilakan golongan mahasiswa akan dilayan sebagai budak-budak tadika? Saya merasakan telah sampai masanya lahir dikalangan pensyarah tokoh pejuang sseperti Ali Syaria'ti yang mempelopori kebangkitan intelektual menentang kezaliman dizaman Pra kejatuhan Shah Iran.

Telah sampai masanya lahir tokoh sepereti Che Guvera di kalangan pelajar dan mahasiswa yang bangkit menentang kezaliman, menjadi idola golongan muda dan simbol kebebasan. Warga universiti mesti dibebaskan daripada belenggu AUKU yang telah menjatuhkan martabat universiti kita.

Kepada golongan belia dan remaja, Pemuda Pas akan terus mendekati golongan ini dengan pelbagai pendekatan yang mesra dan bijak. Pemuda Pas akan merangka menifesto khas untuk golongan belia dan remaja yang akan kita tawarkan sekiranya rakyat memberikan kita mandat untuk berkuasa.

Saya yakin dan percaya imej cemerlang Unit Amal dan Amal Nisa', Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS) dan Pusat Komuniti Muda mampu untuk melonjakkan sokongan golongan belia dan remaja kepada perjuangan kita. Kejayaan Nisa' menganjurkan Nisa' Games telah membuka paradigma baru dalam menampilkan sukan alternatif di negara ini .

Saya juga percaya Unit Kerja Jemaah (UKJ) yang berjaya menghimpunkan 15 ribu pemuda dalam Himpunan Pemuda Pas tahun lalu akan menjadi koodinator penting yang menghubungkan Dewan Pemuda Pas dengan pelbagai petubuhan belia dan remaja di negara kita.

Saya juga berjanji di dalam parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bahawa Pemuda Pas akan menyaman Kerajaan Malaysia kerana mencabuli hak Bumiputera untuk mendapat biasiswa di bawah Perkara 153 Perlembagaan Negara.

Pindaan Akta ini jelas membuktikan betapa pimpinan Umno BN telah menjadikan PTPTN sebagai along berlesen. Isya'Allah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia DPP Pusat (JUHAM) akan mengkaji dan memberikan pembelaan kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa yang menjadi mangsa kepada akta yang tidak berperikemanusiaan ini.

FOKUS 6: Melahirkan Rakyat Yang Berani Berkorban

Para hadirin sekalian,

Segala kemungkaran Kerajaan BN, tidak cukup sekadar dianalisi sahaja, tetapi kita mesti bertindak untuk menghentikan kemungkaran ini. Rakyat Malaysia umumnya dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS khususnya mesti bersedia untuk tampil ke hadapan untuk merobek seluruh kemungkaran ini. Mengubah sesuatu mungkar yang besar bukanlah suatu perkara yang mudah. Perubahan menelan korban dan rakyat mesti bersedia untuk bekorban jika mahu bebas daripada kongkongan yang membelenggu pada hari ini.

Kita sedar bahawa BN mempunyai taktik yang amat jelek dalam menyekat rakyat daripada berubah. Ugutan dan ancaman sentiasa di bibir mereka supaya rakyat sentiasa takut, ragu-ragu dan gundah gulana dalam membuat perubahan. Kita tahu nasib rakyat Kelantan dan Terengganu apabila mereka menolak BN, kita sedar nasib kakitangan kerajaan yang terpaksa bertugas di Sabah dan dikenakan akujanji kerana mengundi pembangkang, kita fahami nasib kontraktor yang kehilangan projek apabila mereka tidak lagi menyokong kezaliman. Tetapi itu yang dikatakan pengorbanan. Jika kita bersedia untuk berkorban, maka kezaliman dapat kita hentikan.

Rakyat mesti berani untuk menukar parti yang menguasai kerajaan dan bersedia untuk menunggu seketika dalam menjana perubahan. Perubahan akan menyebabkan kita kehilangan beberapa perkara, kita mungkin hilang pekerjaan, mungkin hilang pemimpin kesayangan, mungkin hilang segala-galanya.

Tetapi sejarah telah menunjukkan bahawa perubahan-perubahan yang berlaku di dunia memang memakan korban harta dan nyawa. Bukan sahaja revolusi dan reformasi di Rusia, Perancis, China, Filipina dan Indonesia yang memakan mangsa, tetapi usaha pejuang-pejuang kemerdekaan di tanah air kita dahulupun menelan ribuan jiwa dan jutaan harta.

Untuk menggarap kemerdekaan kedua dengan membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah kita mesti bersedia untuk berkorban apa sahaja. Rasulullah SAW dalam usaha baginda mentajdidkan masyarakat Arab Jahiliyyah telah mengorbankan hampir setiap inci daripada kehidupannya. Pada malam ini saya mengajak seluruh Pemuda PAS supaya memasang tekad untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara. Pengorbanan adalah fitrah perjuangan. BJ Habibie dalam bukunya Detik-Detik Yang Menentukan menceritakan bagaimana Rejim Suharto di Indonesia dapat dijatuhkan dan amalan demokrasi yang lebih telus dapat dinikmati hanya setelah anak-anak muda Kristian di Universitas Trisakti mengorbankan nyawa mereka.

Jika mereka pemuda-pemuda Kristian telah melakukan, bagaimana pula kita para pemuda Islam? Pemuda PAS tidak mencari musuh, tetapi demi menegakkan keadilan dan kebenaran, kami sanggup menyerahkan sekalipun nyawa. Ingatlah janji Allah Taala:

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan diantaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." - (Surah al-Ahzab: 23) Rakyat tidak perlu bimbang dengan perubahan yang ditaja oleh PAS kerana ia tidak akan mengubah negara menjadi sebuah negara yang asing bagi kita semua. Kita telah melihat bagaimana kesediaan rakyat Kelantan berkorban untuk mengubah kerajaan, akhirnya mereka menikmati kehidupan yang lebih bermakna di bawah kerajaan yang adil dan saksama. Rakyat Terengganu juga sudah tentu tidak menyesal apabila mereka berubah menyokong PAS pada 1999 kerana kesan- kesan perubahan itu masih dinikmati sehingga hari ini.

FOKUS 7: Mempertahan Kelantan Benteng Perjuangan – Negeri Tempat Istirehat golongan Fakir dan Miskin.

Tuan Pengerusi Tetap dan para muktamirin,

Di sebalik kerakusan yang semakin menjadi-jadi tajaan BN ketika ini, PAS di Kelantan berusaha keras untuk melahirkan masyarakat yang hanya tunduk kepada Allah SWT. Program-program kerajaan negeri disusun sedemikian rupa untuk menggerakkan perlaksanaan syariah yang berteraskan budaya ‘ubudiyyah (perhambaan kepada Allah), mas'uliah (kebertanggung-jawaban) dan itqan (kecemerlangan).

Tempoh selama 17 tahun kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada PAS telah digunakan sebaiknya untuk membentuk biah taqwa di kalangan rakyat. Kesediaan Menteri Besar untuk terus hidup sederhana menjadi contoh warisan kepemimpinan al-amin yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kita berharap gaya dan cara hidup Tuan Guru Menteri Besar akan juga dihayati oleh para pimpinan PAS Kelantan yang lain, sekaligus menjadi menjadi uswah hasanah kepada rakyat.

Model kerajaan telus, bersih, cekap dan adil berteraskan ubudiyah kepada Allah di bawah kepemimpinan ulamak yang ditunjukkan oleh PAS di Kelantan diakui oleh lawan dan kawan. Tetapi ia tidak memadai untuk kemakmuran rakyat. Rakyat memerlukan rancangan- rancangan pembangunan insan dan infrustuktur yang menyeluruh bagi membolehkan mereka menikmati serentak ketaqwaan kepada Allah dan kebahagiaan hidup di dunia. Firman Allah SWT,

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagianmu (bekalan dan keperluan) di dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba- hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah). dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." - (Surah Al-Qasas: 77)

Dewan Pemuda PAS mengucapkan tahniah di atas peningkatan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjana pembangunan kepada rakyat kebelakangan ini. Program-program ekonomi dan sosial yang dirangka seperti projek Ladang Rakyat, pembangunan bandar- bandar baru di seluruh negeri, peningkatan aktiviti ekonomi serta pembangunan insan melalui KIAS dan Darul Digital amat kita hargai. Dalam aspek pendidikan, Kelantan telah menjadi pengkalan melahirkan modal insan contoh.

Bukan setakat institusi pondok, sekolah agama bersistem di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), maahad-maahad tahfiz; tetapi Kelantan telah ke hadapan dengan Maahad Tahfiz Sains yang akan melahirkan para saintis, teknologis dan ulama’ yang seimbang penguasaan duniawi dan ukhrawi. Dewan Pemuda PAS merakamkan tahniah kepada Kerajaan BA Kelantan yang berjaya mengadakan Skim Takaful Kifaalah dan Takaful Armalah untuk membela warga tua dan ibu tunggal di Kelantan. Kita amat menghargai langkah proaktif Kerajaan BA Kelantan mewujudkan projek Jihad Ternak dan Ladang Rakyat yang semuanya bertujuan untuk memberikan kemakmuran kepada golongan yang selama ini dipinggirkan.

"Ya Allah, jadikanlah negeri kami ini negeri yang beragama, tempat istirehat orang-orang memerlukan dan miskin. Jadikan baginya benteng yang kukuh daripada negara-negara lain, mempunyai kehormatan, kekuatan dan kedaulatan."

Sebelum ini langkah Pas memperkenalkan kerja lima hari, cuti bersalin 90 hari, cuti 3 hari untuk suami, pajak gadai Islam Ar Raihan, pinjaman pegawai kerajaan tanpa faeadah telah diserap oleh kerajaan pusat secara diam-diam.

Kelantan adalah benteng bagi PAS yang mesti kita pertahankan. Sama ada ahli PAS dari Kelantan atau bukan dari Kelantan, semuanya meletakkan harapan supaya Kelantan dapat menjadi benteng kekuatan bangsa Melayu Islam. Mempertahankan PAS di Kelantan bermakna kita mempertahankan hak dan kepentingan Melayu kerana kita telah menyaksikan bagaimana satu demi satu kepentingan orang Melayu dan Bumiputra dirungkaikan di negeri-negeri yang dikuasai UMNO/ BN.

FOKUS 8: Membina Minda Negarawan

Para muktamirin yang dikasihi,

Dewan Pemuda PAS begitu prihatin terhadap kepentingan PAS untuk melahirkan tokoh-tokoh yang mampu mendukung kehendak rakyat. Pengalaman umat Islam global yang terkial-kial tanpa pemimpin harus menjadi pengajaran yang berguna untuk PAS. Suatu masa dahulu, pemimpin tertinggi PAS seperti Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad begitu dihormati sebagai pemimpin bangsa

Melayu. Dr Burhanuddin disegani kawan dan lawan, dianggap ketua semua orang kiri, rujukan para ulamak, disegani oleh pemimpin bukan Melayu. Tokoh-tokoh besar seperti Dato' Onn Jaafar, Pak Sako, Ahmad Boestamam, EEC Thuraisingam dan Tan Cheng Lock pun sanggup berketuakan Dr Burhanuddin. Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor juga dikenang sebagai tokoh yang menyatukan orang-orang Melayu ketika UMNO berpecah pada 1988 dan diingati sebagai juara yang mewakili rakyat membela keadilan dalam krisis politik pada 1998.

Sejarah telah merakamkan bahawa untuk menjatuhkan seseorang diktator, rakyat memerlukan ikon pembangkang sebagai alternatif. Lihatlah bagaimana Aquino dijulang untuk menurunkan Marcos, Ayatullah Khomeini diangkat untuk menumbangkan Shah Iran dan bagaimana reformasi menamatkan pemerintahan kuku besi Suharto.

Pemimpin dan ahli PAS perlu menganjak untuk berfikir dan bersemangat dengan paradigma seorang negarawan. Asas Islam yang menjadikan kita sebagai fundamentalis tidak seharusnya menyebabkan kita menjadi tertutup, syadid dan bersikap keras dalam semua perkara. Pimpinan PAS yang berjiwa negarawan akan sentiasa berfikir dan bertindak untuk kepentingan negara tanpa mengabaikan asas-asas ketaqwaan kepada Allah.

Micheal Hart telah meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai ranking pertama dalam bukunya The Hundred : A Ranking of The Most Influencial Persons in History.

Rasulullah SAW telah membuktikan akhlak Islam telah berjaya memecahkan sempadan pemikiran, doktrin dan ideologi dan diberikan pengiktirafan hatta oleh orang bukan Islam.

Sentiasa berfikir sebagai pembangkang boleh menyebabkan kita menjadi tertutup. Kita mesti bersedia untuk mengakui sesuatu kebaikan sebagai baik, dan sentiasa menolak keburukan sebagai mungkar. Membangkang memang tidak salah jika kena tempatnya. Tetapi, kita bersedia untuk berdialog dan berkerjasama dengan kerajaan jika ia memberi manfaat untuk semua. Paradigma sebagai negarawan boleh menatijahkan keyakinan rakyat kepada kita untuk memimpin negara.

Dengan itu, Dewan Pemuda PAS berpendirian bahawa PAS mesti mengepalai sendiri gerakan rakyat dalam menghadapi kezaliman BN. Biarlah rakyat melihat PAS sebagai alternatif dan pemimpin PAS sebagai ikon untuk membentuk sebuah negara yang makmur, baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

FOKUS 9: Meneruskan Agenda “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang.”

Para hadirin sekalian,

Semenjak beberapa tahun yang lalu, Dewan Pemuda PAS telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk mendekati rakyat melalui program-program enggagement yang dilaksanakan. Dewan Pemuda PAS bukan sahaja menembusi pejabat-pejabat kerajaan, media massa, NGO dan tokoh-tokoh masyarakat dalam menyampaikan mesej PAS, tetapi kita juga telah turun ke padang sebagai ‘Duta Penyelamat dan Kasih Sayang’' dengan mendekati golongan-golongan yang bermasalah.

Kita juga akan membuktikan keupayaan kita dalam merangka polisi dan program pembangunan masyarakat dan negara dalam kapisiti keupayaan yang kita ada. PASTI telah membuktikan bahawa Pas mampu melahirkan sistem pendidikan pra sekolah yang menjadi kebanggaan kita. Pada masa-masa akan datang kita akan cuba melahirkan program-program yang berorientasikan perkhidmatan seperti program pembangunan remaja dan pembangunan kerjaya.

Pemuda Pas juga akan bekerja keras untuk menyediakan sebuah pusat perlindungan bagi saudara-saudara baru kita yang menghadapi ancaman keselamatan kerana mereka memilih untuk menganut agama Islam.

Gerakan-gerakan proaktif ini begitu dirasai apabila mad'u-mad'u baru dakwah kita dapat kita dekati. Penglibatan Dewan Pemuda PAS bersama golongan belia yang selama ini dianggap bermasalah dan golongan yang kita pinggirkan sebelum ini termasuk artis, budayawan, ahli sukan dan lain-lain telah memberikan wajah baru kepada perjuangan kita. Satu hakikat kita kena akui bahawa selama ini mereka bukan menolak kita, tetapi mereka tidak mengenali kita.

Saya berbangga apabila pandangan-pandangan dan idea-idea yang kita salurkan kepada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen tentang Perpaduan dan PLKN diterima baik. Bahkan, gagasan-gagasan kita juga diakui di peringkat antarabangsa apabila kita terlibat dalam beberapa rundingan dan dialog dalam isu global. Kerana itu, saya menegaskan bahawa kita sentiasa bersedia untuk dijemput dan menjemput dalam mana-mana perundingan dan dialog bagi mewujudkan persefahaman dengan semua pihak.

PAS sedar dan mengakui bahawa untuk maju ke hadapan tidak cukup sekadar melakarkan imej positif tanpa gerak kerja yang serius ke akar umbi masyarakat. Golongan cendikiawan dan cerdik pandai sepatutnya digerakkan juga sebagai force utama untuk perubahan politik negara. Golongan elit atau atasan dalam negara walaupun mewakili kumpulan minoriti tetapi mereka memiliki pengaruh dan daya tekan yang kuat untuk memaksa kerajaan kembali ke landasan. Saya mengajak golongan elit dan menengah supaya mengambil pendirian yang jelas dalam menentukan corak dan hala tuju negara ke arah good governance.

Pendekatan yang lebih ampuh juga perlu disusun oleh Dewan Pemuda PAS bagi menghadapi golongan belia dan generasi baru. Perkembangan semasa yang menunjukkan kadar keruntuhan akhlak yang semakin melarat di kalangan remaja menjadi petunjuk terhadap kekaburan masa depan negara. PLKN yang dianjurkan oleh kerajaan sehingga hari ini tidak menampak tanda bahawa ia boleh memulihkan keruntuhan yang berlaku. PAS mesti cepat bertindak untuk membaik pulih kerosakan ini sebelum generasi baru yang lahir kehilangan arah dan akhirnya menjadi punca kehancuran umat.

Dewan Pemuda PAS secara tegas menyatakan bahawa kita sangat kecewa dengan kegagalan Kerajaan BN untuk membentuk ruang yang kondusif bagi golongan muda untuk bersama-sama dalam pembangunan negara. Sekatan-sekatan ke atas pembangunan minda dan pembinaan kepemimpinan di kalangan pelajar universiti telah melahirkan graduan-graduan yang tidak berdaya saing.

Situasi pasaran kerja yang lembab di sebalik 'kekukuhan' bursa saham telah menyebabkan kadar pengangguran graduan semakin bertambah. Pembaziran tenaga kerja ini amat membimbangkan kerana ia boleh mendorong kepada terjebaknya golongan muda dalam kancah yang tidak sihat.

Satu golongan sasar yang perlu kita dekati ialah orang bukan Islam. PAS memerlukan pendekatan baru untuk pengundi bukan Islam termasuk mencari rakan strategik lain dari kalangan parti bukan Melayu yang tidak rasis dan bersedia menyokong gagasan keadilan sejagat yang dibawa oleh Islam. Pendekatan yang lebih bijak akan mengurangkan ketegangan antara PAS dengan orang bukan Melayu sekaligus boleh membantu PAS menembusi kawasan-kawasan campuran.

FOKUS 10: Memperkasa Pendidikan Politik Rakyat dan Pengukuhan Tarbiyyah Dalaman

Sidang muktamirin sekalian,

Pak Natsir ulamak tersohor Nusantara pernah menyebut tentang kelahiran pemimpin dan dokongan rakyat. Beliau menyatakan "pemimpin tidak hanya lahir dari bilik berhawa dingin dan hamparan permaidani merah. Pemimpin lahir dari benak rakyat, denyutan nadi dan hati rakyat, diangkat dan dimartabatkan oleh rakyat maka jadilah ia sebagai pemimpin rakyat".

Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan (Pemuda BA) akan menggerakkan massa bersama NGOs yang lain dalam memberikan pendidikan politik kepada rakyat. Kita akan memastikan pimpinan pemuda dapat membawa mesej ini dengan jelas dan meresap masuk sektor masyarakat disetiap pelusuk tanah air kita. Saya masih optimis untuk melaksanakan pakej perkongsian politik bijak dengan tokoh- tokoh seperti Tun Dr Mahadthir Mohammad, Dato Sri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membina pendidikan dan minda politik rakyat bagi menentang pimpinan Umno BN.

Bagi menghadapi pilihan raya ini, kita mesti membuat persiapan yang jitu ke arah mengukuhkan tekanan kita untuk menolak BN. Seluruh jentera parti mesti mengatur persiapan strategi, logistik, kewangan dan persiapan-persiapan perlu yang lain, di samping meningkatkan hubungan dengan Allah SWT. Gabungan persiapan bermata dua – hablumminallah dan habluminannas – amat penting untuk menggarap kemantapan gerak kerja pilihan raya ini.

Tumpuan untuk memperkasakan tarbiyah mesti diperhebatkan. Persaingan fikrah atau kekaburan wehdatul fikr hanya boleh diatasi oleh gerak kerja tarbiyah yang mantap dan menyeluruh. Saya menyeru semua ahli dan pimpinan PAS supaya bersedia untuk terus ditarbiyah dan beriltizam dengan tarbiyah PAS agar kesatuan dapat diwujudkan dalam jamaah.

Dewan Pemuda PAS juga akan meningkatkan lagi usaha pembangunan kapasiti (capacity building) dikalangan tenaga kerja parti melalui Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP). AKP telah memulakan langkah melatih dan membentuk kebolehan kepimpinan pemimpin-pemimpin pemuda di peringkat negeri dan kawasan melalui modul-modul yang telah dibangunkan. Saya juga mengumumkan pada malam ini bahawa AKP tidak lama lagi bakal mempunyai sebuah Pusat Latihan sendiri di atas sebuah tapak tanah seluas 6.5 ekar berhampiran bandar Kota Bharu.

Dewan Pemuda PAS pada tahun ini mengadakan mengadakan satu sambutan besar-besaran Jubli Perak Kepemimpinan Ulamak. 25 tahun yang lalu Dewan Pemuda PAS telah memainkan peranan besar untuk memberi nilai tambah kepada jamaah melalui pengasasan Kepemimpinan Ulamak. Kepemimpinan Ulamak ini bukanlah satu slogan kosong atau sekadar untuk mewujudkan institusi Majlis Syura Ulamak, tetapi ia adalah pengangkatan martabat para ulamak sebagai pewaris nabi untuk memimpin gerakan Islam dan ummah. Kita berharap para ulamak melakukan lonjakkan untuk menunjukkan contoh kepemimpinan cemerlang yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.

Sesuai dengan firman Allah SWT,

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun." - (Surah Fathir: 28)

AKHIR KALAM

Para hadirin sekalian,

Sebagai mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya mengajak seluruh hadirin untuk mengambil semangat muktamar ini bagi meningkatkan kesungguhan dan keikhlasan kerja kita ke arah mencapai keredhaan Allah SWT. Berpandukan 10 fokus yang digagaskan, saya mengajak seluruh ahli dan kepemimpinan PAS supaya kita mengatur satu usaha komprehensif bagi merakyat perjuangan.

Jadikanlah muktamar ini sebagai satu medan terbaik untuk kita membangkitkan semangat kerja dan kesungguhannya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Inilah peluang untuk kita bermuhasabah dan membina kekuatan bagi meneruskan kelangsungan perjuangan PAS.

Firman Allah SWT:

"Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah akan bersama orang yang berusaha memperbaiki amalannya" - (Surah al-Ankabut: 69)

Para pemuda sekelian, kita tidak punya apa-apa untuk kita berikan kepada perjuangan ini. Yang ada pada kita hanyalah masa, tenaga, darah dan airmata. Saya mengajak diri saya dan para pemuda sekelian untuk melaksanakan sumpah pemuda kepada perjuangan suci ini. Marilah kita bekerja sehabis kudrat demi perjuangan ini.

Ya Allah, terimalah apa saja dari kami, kalau Kau mahu diri kami menjadi taruhan kami Pemuda Pas redha ya Allah, Insya'Allah.

Sepatah nasihat dari saya insan kerdil ini : "Bekerja tanpa banyak bicara itulah pemuda – banyak bicara tanpa kerja itu bukan pemuda".

Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita dalam bermujahadah, kita dapat menyempurnakan muktamar pada tahun ini, dan meneruskan agenda untuk menegakkan Islam kemudiannya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada PAS Kelantan yang menjadi tuan rumah muktamar kita. Kepada Timbalan Presiden PAS yang merasmikan muktamar kita, kepada dif jemputan, perwakilan dan pemerhati juga saya mengucapkan Jazakallahu Khairal Jaza’ di atas komitmen semua. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Sekian, Wabillahi al-tawfik wal hidayah wassalamu'alaikum warahmatulLahi wabarakatuh.

13 Jamad al-Awwal 1428/30 Mei 2007,
Ketua Pemuda Pas Pusat